Sunday, September 14, 2008

:::..Ringkasan dan Pemahaman..:::

1. RINGKASAN DAN PEMAHAMAN

A (i). RINGKASAN

1. Pengenalan Ringkasan

ü Calon dikehendaki meringkaskan petikan berdasarkan kehendak soalan supaya menjadi tidak melebihi 80 patah perkataan.
ü Markah yang diperuntukan pula ialah 20 markah.
ü Dikehendaki ditulis dalam satu perenggan sahaja.
ü Tidak memerlukan pendahuluan dan kesimpulan
ü Biasanya petikan yang dikemukakan adalah rencana tentang isu-isu semasa.

2. Teknik Meringkaskan Petikan:

2.1 Sebelum Menulis Ringkasan
ü Calon perlu membaca dan memahami arahan soalan di samping memastikan jumlah perkataan yang dikehendaki.
ü Pastikan anda faham kata kunci soalan iaitu seperti:1. faktor/punca/sebab2. kesan/implikasi/akibat3. cara/langkah/strategi4. kekangan/halangan/kerumitan/kesulitan/masalah5. kebaikan/manfaat/faedah6.keburukan
ü Baca petikan lebih daripada sekali dengan teliti sehingga betul-betul faham akan isi petikan tersebut dan kaitkan dengan soalan.
ü Semasa membaca petikan, gariskan perkataan yang menggambarkan isi iaitu yang dikehendaki oleh soalan.
ü Carikan seberapa banyak isi yang ada dalam petikan.

2.2 Semasa Menulis Ringkasan
ü Walaupun banyak isi yang dapat dicari tetapi dikehendaki hanya antara 5 hingga 6 isi sahaja.
ü Awas !! jangan kurang daripada itu kerana dikhuatiri akan mengurangkan markah isi. Jangan juga terlebih daripada itu kerana dikhuatiri terlalu panjang sehingga melebihi 80 perkataan.
ü Cuba gabungkan perkataan-perkataan tersebut untuk membentuk isi yang mantap.
ü Pelajar hanya perlu menggunakan perkataan seerti/sinonim untuk mengubah ayat dan hanya menukar 1 hingga 3 perkataan sahaja dalam satu-satu ayat sudah memadai. Ini sudah menunjukkan pelajar tersebut sedah menukat ayat dan menggunakan perkataan sendiri seperti arahan dalam soalan.
ü Andai kata pelajar sudah pandai untuk menukarkan ayat, beliau boleh membuang perkataan-perkataan yang difikirkan tidak perlu tetapi awas jangan sehingga terpesong daripada maksud asal.
ü Pelajar boleh membuang sama ada penanda wacana yang tidak diperlukan, dua perkataan yang mempunyai sama maksud, huraian kepada isi utama dan contoh.
ü Pelajar juga digalakkan menggantikan huraian isi yang panjang dengan perkataan tertentu atau istilah yang sama maksud yang lebih sesuai.
ü Tulis jawapan ringkasan dalam satu perenggan sahaja.
ü Jangan lupa selitkan penanda wacana untuk mendapatkan kesinambungan antara isi dan juga untuk mendapat markah bahasa yang baik.
ü Tidak perlu dimasukkan pendahuluan dan kesimpulan.

2.3 Selepas Menulis Ringkasan

ü Selepas menulis ringkasan itu sila kira jumlah perkataan serta semak jika terdapat kesalahan ejaan atau tatabahasa.
ü Tulis jumlah perkataan di bahagian kanan jawapan.
ü Baca sambil menyemak untuk memastikan tiada kesalahan isi ataupun bahasa.


3 Pemarkahan

ü Markah penuh ialah 20.
ü Markah maksimum untuk isi ialah 10 markah (5 isi x 2 = 10 markah). Pastikan isi cukup 5.

ü Markah maksimum untuk bahasa ialah 10 markah (bergantung pada persembahan bahasa pelajar. Andai kata tidak ditukar langsung sesuatu ayat itu dan ada kesalahan bahasa atau ejaan maka markah bahasanya agak kurang. Jika dibandingkan dengan ayat yang diubah sedikit serta kesalahan bahasanya tiada sudah tentulah markah bahasanya lebih baik).

Ciri-ciri
Markah
Sangat baik, baik dan lancar serta kosa kata luas
9-10
Masih baik dan kosa kata masih baik
7-8
Sederhana, memuaskan dan kurang lancar serta kosa kata agak terhad
5-6
Lemah dan tidak cekap serta kosa kata terhad. Salin bulat-bulat.
1-4


4 Ciri-Ciri Jawapan Ringkasan Yang Baik


ü Bahasa baik dan lancar
ü Berupaya menukarkan 1 atau 2 ayat sinonim
ü Pemilihan kata yang tepat
ü Ayat yang gramatis
ü Ada Penanda wacana
ü Ejaan dan tanda baca betul
ü Isi menjawab soalan



5 Kesilapan Calon


ü Salin bulat-bulat keseluruhan ayat
ü Tiada penanda wacana
ü Tulis pendahuluan dan kesimpulan
ü Lebih 80 pp
ü Tulis dalam bentuk poin
ü Ayat tergantung
ü Ringkaskan perkataan – nak, yg.
ü Masukkan ayat yang tidak menjawab soalan.




Peringatan!!!!!

1. Jangan disalin ayat bulat-bulat daripada petikan.
2. Jangan ubah semua perkataan yang terdapat dalam isi tersebut kerana bimbang maksudnya akan terpesong.



5. Contoh Ayat Ringkasan : Soalan : Punca-punca gejala lepak.Antara punca gejala lepak ialah.........(jawapan 1)............................... Seterusnya, ............(jawapan 2) ...................... Selain itu, ...............(jawapan 3) ......... Di samping itu, .............(jawapan 4).................. Akhir sekali, ...................(jawapan 5)................

6. Contoh Tugasan 1

6.1 Contoh Cara-Cara Menukar Ayat

• Contoh 1 : Contoh percubaan PMR ’08

• Ayat Asal –

Oleh sebab, perkhidmatan telefon bimbit mendapat sambutan yang baik memandangkan (kerana) keupayaannya merapatkan jarak sesama manusia serta kemampuannya menghubungkan manusia tanpa mengambil kira (mengira) faktor pemisah dan waktu. (26)

• Jawapan betul –

Perkhidmatan telefon bimbit mendapat sambutan yang baik kerana berkeupayaannya merapatkan jarak sesama manusia serta menghubungkan manusia tanpa mengira faktor pemisah dan waktu. (22)

• Contoh 2 :

• Ayat Asal –

Sebagai alat komunikasi moden, manusia dapat berkomunikasi dengan cepat, meluas dan mudah. (12)

• Jawapan betul –

Selain itu, manusia juga dapat berkomunikasi dengan cepat, meluas dan mudah. (11)

6.2 Contoh jawapan lemah

• i. Ayat yang berbeza daripada maksud asal.

• Ayat asal -

Ada juga remaja yang menggunakannya untuk menyertai program televisyen, menghubungi pihak berkuasa untuk melaporkan aktiviti jenayah dan mengganggu ketenteraman orang lain dengan mengirim gambar atau teks porno.

• Jawapan calon _

Sesetengah remaja menggunakan telefon bimbit yang canggih sebab boleh menyertai program televisyen, mendengar muzik, mengirim gambar atau teks porno. (dan menghubungi pihak berkuasa untuk melaporkan aktiviti jenayah. )

• Jawapan yang tidak menjawab soalan (Soalan : kepentingan telefon bimbit)

Ada juga sesetengah telefon bimbit boleh menyertai program televisyen.
Di negara ini telah wujudnya sebuah alat yang dipanggil “telefon bimbit”. Telefon bimbit ini ada keistimewaannya.
Telefon bimbit sebagai media teknologi komunikasi kian berkembang dan menjadi alat keperluan kerana telefon bimbit adalah alat komunikasi yang moden

6.3 Contoh lain cara-cara menukarkan ayat.

Sebahagian besar pelajar tidak memberikan perhatian pada subjek Bahasa Melayu kerana menganggap subjek ini remeh dan mudah saja.
(Sebahagian besar pelajar mengabaikan subjek Bahasa Melayu kerana menganggap mata pelajaran itu tidak mustahak dan senang sahaja.)

2. Kemerosotan kualiti dan kemusnahan alam sekitar terjadi kerana pencemaran.
(Pencemaran mengakibatkan kemerosotan mutu dan kemusnahan alam sekitar.)

7. Cadangan Aktiviti

Tukarkan ayat-ayat dibawah. Pastikan tidak mengubah maksud asal ayat.

1. Penggunaan bahasa yang bercelaru dan buruk merosakkan kemurnian dan keistimewaan bahasa Melayu.

2. Pelajar mesti berkeupayaan berfikir secara kritis dan positif untuk menjadi pelajar yang berjaya.

3. Pendidikan masyarakat merupakan faktor penting sebagai asas pembinaan masyarakat Wawasan 2020.

4. Pembangunan yang dijalankan secara tidak terancang boleh melenyapkan hutan semula jadi dari muka bumi ini.

5. Televisyen merupakan media yang sangat berpengaruh untuk menyampaikan sesuatu mesej.




8. Contoh Soalan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan belajar secara berkumpulan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

P 1 : Bukan isi sebab tidak menceritakan kebaikan belajar secara berkumpulan – tidak menjawab soalan lagi Kita sering mendengar beberapa istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut. Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu dijalankan secara berkekalan.

Dalam proses memahami bahan-bahan yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang jitu.

(Kita memerlukan orang lain untuk memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun.) 1 Tugas itu memerlukan perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.

Apabila kita bekerja dengan orang lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan perbincangan itu.

Namun begitu, kumpulan perbincangan itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.

Contoh Jawapan:

Kumpulan perbincangan diadakan bertujuan untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dalam kalangan ahli. Melalui aktiviti ini, pemahaman tentang sesuatu perkara dapat dipertingkatkan. Nota hasil pembelajaran dapat disusun dengan rapi. Ada rakan-rakan yang dapat menjelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami dengan terperinci. Selain itu, nota pelajaran juga dapat disusun mengikut urutan yang tepat. Semua ahli kumpulan mendapat faedah hasil daripada perbincangan yang dilakukan. Akhir sekali kumpulan perbincangan dapat meningkatkan kecekapan bekerja setiap ahli kumpulan.

(80 perkataan)

9. Contoh-Contoh Soalan

Contoh 1

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang keistimewaan bandar Batu Pahat . Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Bandar Batu Pahat juga dikenali sebagai Bandar Penggaram, sempena nama Bukit Penggaram yang dibuka atas titah perintah Sultan Johor pada peghujung abad ke-19. Bandar Penggaram merupakan bandar baharu yang mengalami pertumbuhan pesat. Bandar ini dilengkapi dengan segala prasarana asas. Kemudahan ini menarik para peniaga dan pedagang ke sini.
Di pinggir Bandar Batu pahat pula terdapat banyak kilang industri kecil dan sederhana. Di antara industri yang tersohor ialah tekstil. Maka tidak hairanlah jika banyak orang datang ke sini, iaitu dari Melaka hingga ke Singapura untuk membeli belah bahan tekstil. Tidak jauh dari pusat bandar pula terdapat sebuah pelabuhan kecil yang terletak di muara Sungai Batu Pahat. Pelabuhan ini menjadi pusat perdagangan. Kebanyakan barang dagangan diimport dari kepulauan Sumatera yang merangkumi kayu balak, kelapa, dan getah.
Bandar Batu Pahat mempunyai panorama yang indah. Selain keindahan alam semula jadi, terhias permai sungai dan lembah di Sungai Batu Pahat dan dua cabang anak sungai di sebelah hulu yang terletak di kawasan Simpang Kanan dan Simpang Kiri. Para pengunjung lebih terpesona melihat Gunung Banang dan Gunung Soga yang menghiasi latar belakang daerah Batu Pahat.
Peneroka awal Batu Pahat ialah orang Melayu, Jawa, Banjar dan Bugis. Apabila semakin banyak penduduk ke sini, maka imigran Cina dan India pula menyusul tiba. Orang Jawa dibawa masuk untuk bekerja di ladang kopi dan getah. Orang Cina pula berniaga dan berdagang. Selain itu, mereka juga menanam gambir dan lada serta membuka lombong.
Batu Pahat banyak menyimpan sejarah suka dan duka. Antara peristiwa yang menggembirakan ialah lahirnya Pergerakan Melayu Semenanjung Johor pada tahun 1945. Di Batu Pahat juga pernah berlaku peristiwa berdarah yang menyayat hati semasa Perang Dunia Kedua berlaku.


Soalan Pemahaman
Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda sendiri.

(i)
Apakah maksud rangkai kata terhias permai ? [2 markah]


(ii)
Jelaskan keindahan alam semula jadi di Batu Pahat. [4 markah]


(iii)
Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan untuk menarik minat pelancong berkunjung ke sesuatu tempat? [4 markah]

Contoh 2

Selalunya pelbagai penyakit akan timbul selepas banjir mulai surut. Penyakit yang selalunya dikaitkan dengan banjir ialah penyakit bawaan air seperti cirit-birit, taun, dan juga yang berpunca daripada nyamuk, iaitu denggi. Pihak berkuasa juga telah pun memberikan maklumat terperinci mengenai penyakit-penyakit yang perlu ditangani segera. Jika tidak penyakit ini akan memberi masalah yang lebih besar kepada mangsa banjir.
Namun kita jangan lupa, masalah mental mungkin juga dihadapi mangsa banjir selepas banjir surut. Berbanding dengan penyakit bawaan air tadi, masalah mental pada kebiasaannya tidak disedari oleh pesakit apatah lagi orang lain. Jika mereka menghadapinya dan mengetahuinya sekalipun, mereka akan cuba menyembunyikannya. Sehinggalah masalah tersebut menjadi terlalu sukar untuk dirawat.
Kita sedia maklum bahawa musibah banjir mengakibatkan sejumlah harta benda musnah begitu sahaja. Sudah pasti hal ini menyebabkan seseorang itu mudah untuk berdukacita kerana perasaan kehilangan sesuatu yang berharga terjadi ke atas diri. Perasaan dukacita inilah yang menyebabkan seseorang itu mudah hilang punca dan sukar untuk menyesuaikan diri. Mereka juga mungkin akan mempunyai perasaan rendah diri yang keterlaluan.
Selain itu pula ada sebilangan besar mangsa banjir akan kehilangan mata pencarian. Misalnya golongan peniaga jalanan. Mereka sudah pasti antara golongan yang paling teruk terjejas mata pencarian. Hal ini demikian kerana hasil jualan mereka berdasarkan jualan harian. Jika tidak berniaga, mereka pasti rugi. Tetapi jika mereka berniaga pun mungkin sukar untuk mendapat pembeli. Golongan ini perlu diberikan perhatian.
Demikian juga halnya dengan orang yang terlibat dengan sesuatu perniagaan seperti kedai barangan elektrik. Mereka juga akan teruk terjejas kerana peralatan yang hendak dijual telah rosak kerana banjir. Para peniaga ini akan kehilangan mata pencarian dan ada kemungkinan mereka akan mengalami gangguan mental yang hebat. Mereka mungkin cuba menafikannya; namun hakikatnya berbeza.
Semua keadaan di atas memerlukan persediaan mental yang kuat dan mereka memerlukan bantuan agar boleh menjalani hidup seperti sedia kala. Tidak kiralah persediaan menghadapi penyakit atau masalah mental, semua ini memerlukan kekuatan jiwa yang kuat. Semoga mereka yang terlibat banjir ini menjadi orang yang kuat dan tabah.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Persediaan Selepas Banjir” oleh Khairol Anuar Masuan dlm. Utusan Malaysia, 26 Januari 2007.)


Soalan Pemahaman
Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda sendiri.

(i)
Apakah maksud rangkai kata mudah hilang punca?

[2 markah]

(ii)
Mengapakah mangsa banjir menghadapi masalah mental?

[4 markah]

(iii)
Pada pendapat anda, bagaimanakah kita boleh membantu mangsa banjir?

[4 markah]



Pemahaman Petikan Umum
1 Berikan maksud rangkai kata ‘mengancam kehidupan. [2 markah]
2 Apakah yang akan terjadi sekiranya tidak ada kempen masyarakat penyayang? [4 markah]
3 Pada pandangan anda, mengapakah masih terjadi perkara-perkara yang bertentangan dengan apa yang dikehendaki dalam kempen masyarakat penyayang di negara kita?


A (ii) PEMAHAMAN

1. Pengenalan Pemahaman

o Tiga soalan akan dikemukakan.
o Urutan daripada Bahagian Ringkasan.
o Soalan 1 (2 markah) dan Soalan 2 (4 markah) lazimnya berkaitan dengan isi petikan. Perlu rujuk petikan untuk mendapatkan jawapan.
o Soalan 3 (4 markah) merupakan soalan terbuka yang memerlukan kemahiran berfikir pelajar dan pelajar perlu memberi pendapat sendiri. Awas!! jangan sesekali mengambil jawapan dalam petikan kemungkinan tidak akan diberi markah. Jawapan perlu munasabah.
o Markah yang diperuntukan ialah 10 markah.
o Perlu dijawab dalam bentuk ayat seperti mengarang. Jangan ditulis hanya dengan point-form.
o

2. Teknik Menjawab Soalan Pemahaman

2.1 Sebelum, Semasa dan Selepas Menjawab

o Perlu memahami petikan.
o Perlu faham kehendak soalan.
o Perlu faham jumlah markah yang ditetapkan bagi setiap soalan.

o tentang maksud frasa atau rangkai kata dan juga peribahasa yang terdapat dalam petikan
o Seboleh-bolehnya, gantikan setiap perkataan dalam rangkai kata tadi
o dengan perkataan anda sendiri, tetapi hendaklah mengikut maksud dalam petikan.
o Gantikan dengan perkataan seerti bagi setiap perkataan itu kecuali kata hubung/sendi.
o Contoh – khusyuk berkomunikasi – ralit/leka/asyik bersembang/berbual
o Jangan hanya menukarkan satu perkataan sahaja sedangkan satu perkataan lagi sama. Ini akan merugikan markah. Contohnya khusyuk berbual

- jawapannya dalam petikan .
- Setelah ditemui, jangan disalin bulat-bulat tetapi seperti menjawab
ringkasan, pelajar sekurang-kurangnya mengubah satu atau dua perkataan.
- Markah yang diberi ialah 4, maka pelajar perlu mengemukakan lebih
daripada satu isi (2, 3 atau 4 isi jika ada dalam petikan).
- kadang-kadang dinyatakan di dalam soalan berapa jawapan yang dikehendaki. Baca soalan terlebih dahulu.
- Jangan hanya memberi jawapan 1 atau sebahagian sahaja kerana akan merugikan markah.
o merupakan soalan pendapat yang jawapannya dikategorikan
sebagai tersirat.
o Hal ini bermakna pelajar mesti membuat kesimpulan atau memberikan
pendapat sendiri.
o juga perlu memberi jawapan lebih daripada satu.
o Jangan lupa penanda wacana.



- Peringatan….

¨ ** perlu menulis semula sebahagian ayat dalam soalan.
¨ Jangan hanya menulis poin form, perlu mengarang.

3. Contoh Soalan dan Jawapan (Berdasarkan petikan di atas)

a. Apakah maksud tradisi meningkatkan ilmu dalam petikan di atas?

Tradisi meningkatkan ilmu bermaksud suatu cara menambahkan pengetahuan .

b. Berikan dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan?

Dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan ialah berbincang dalam satu kumpulan yang disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar dalam aspek yang sedang dibincangkan. Selain itu, mengemukakan pendapat yang bernas dan yang terbaik sebagai tambahan idea kepada pengetahuan ahli kumpulan yang lain.

c. Pada pandangan anda, bagaimanakah cara untuk memberitahu murid tentang kebaikan belajar secara berkumpulan?

Pada pandangan saya, cara untuk memberitahu murid tentang kebaikan belajar secara berkumpulan ialah guru mata pelajaran hendaklah menjelaskan kepada murid bahawa belajar secara berkumpulan akan menyebabkan pelajaran kekal lama dalam ingatan. Di samping itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan ceramah tentang cara belajar secara berkumpulan yang efisien.


4. Contoh Jawapan Lemah

a. Apakah maksud tradisi meningkatkan ilmu dalam petikan di atas?

Tradisi meningkatkan ilmu bermaksud tradisi menambahkan ilmu.
----- menukar satu perkataan sahaja.

b. Berikan dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan?

Dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan ialah berbincang dalam satu kumpulan. Mengemukakan pendapat yang bernas.
----- ayat jawapan terlalu pendek dan tidak ada penanda wacana.

c. Pada pandangan anda, bagaimanakah cara untuk memberitahu murid tentang kebaikan belajar secara berkumpulan?

……………………….Caranya ialah guru mata pelajaran hendaklah menjelaskan kepada murid bahawa belajar secara berkumpulan akan menyebabkan pelajaran kekal lama dalam ingatan.
---- tidak menulis semula sebahagian ayat dalam petikan dan memberi satu jawapan sahaja.


*Contoh Soalan Latihan Pemahaman Rujuk Bahagian A (i) Ringkasan

No comments: